Friday 29 December 2017

HARAM GUNA BITCOIN?

Pelaburan Bitcoin semakin terkenal dan diterima umum. Maka timbul persoalan sama ada Bitcoin diiktiraf oleh syarak ataupun tidak? Adakah Bitcoin satu bentuk harta yang boleh dimiliki (mal al-mutaqawwam) oleh masyarakat Islam dan diharuskan berjual beli dengannya?

Ulama-ulama kotemporari berbeza pandangan dalam menentukan hukum Bitcoin dan juga mata wang krypto yang seumpamanya.

Kumpulan pertama berpendapat bahawa Bitcoin adalah patuh syariah dan kumpulan kedua sebaliknya. Manakala kumpulan ketiga iaitu yang paling ramai masih meneliti dan mengkaji hukum bagi instrumen transaksi yang baharu ini.

Kumpulan yang mengharuskan, melihat Bitcoin sebagai satu bentuk harta baharu. Kumpulan ini berhujah bahawa syarak tidak ada sekatan dalam perkara ini. Selagi tidak ada nas Quran dan Hadis yang melarang, manusia bebas mencipta sumber kekayaan baharu.

Hujah yang sama digunakan untuk mengharuskan Bitcoin sebagai medium pertukaran barangan. Kumpulan ini berhujah bahawa syarak tidak pernah membuat ketetapan tertentu tentang jenis medium pertukaran atau mata wang.

Sejarah mata wang menunjukkan bahawa pelbagai komoditi dan aset seperti kulit kerang, garam, binatang ternakan, emas dan perak telah digunakan sebagai medium pertukaran barangan sepanjang peradaban manusia.

Syarat utama bagi sesuatu aset agar boleh diiktiraf sebagai medium pertukaran ialah penerimaan komuniti. Selagi mana penjual dan pembeli bersetuju dengan Bitcoin sebagai medium pertukaran, maka jual beli tersebut adalah sah dari segi syarak.

Kumpulan kedua melihat Bitcoin adalah satu mudarat kepada ekonomi negara. Kumpulan ini curiga dengan masa depan Bitcoin.

Kebimbangan ini berasaskan kepada ketiadaan satu sistem kawal selia dalam penghasilan Bitcoin dan wang krypto seumpamanya.

Ini tentunya terdedah kepada manipulasi oleh pihak tertentu yang mempunyai keupayaan luar biasa untuk menjana Bitcoin sendiri dan boleh menjadi kaya raya dalam sekelip mata.

Kumpulan ini turut berhujah bahawa ketiadaan sistem kawal selia yang jelas menyebabkan nilai Bitcoin tidak stabil. Kesemua ini dikaitkan dengan unsur gharar (ketidakpastian) yang menjadi hujah bahawa Bitcoin tidak patuh syarak.

Bank Negara Malayisa (BNM) tidak melarang penggunaan Bitcoin, tetapi mengingatkan tentang risiko kemungkinan kerugian. BNM tidak terlibat dalam apa-apa urusan berkaitan Bitconin dan tidak mengiktirafnya sebagai mata wang.

RISIKO PELABURAN BITCOIN

Bitcoin mula diperkenalkan pada tahun 2008 oleh seorang yang menamakan dirinya sebagai Satoshi Nakamoto. Namun, sehingga kini maklumat secara terperinci mengenai beliau masih menjadi misteri.

Bitcoin adalah satu kod perisian secara digital yang digunakan sebagai catatan transaksi kewangan di dalam jaringan yang dikenali sebagai blockchain.

Transaksi Bitcoin dilakukan melalui dompet eloktronik yang merekod segala transaksi secara maya.

Semasa mula diperkenalkan, Bitcoin tidak mempunyai nilai yang signifikan. Kod-kod digital yang diwujudkan tidak dapat ditukar dengan aset berharga.

Namun begitu, fenomena ini berubah sejak kebelakangan ini. Nilai bagi satu Bitcoin kini melonjak. Penerimaan syarikat-syarikat perniagaan terhadap Bitcoin sebagai medium pertukaran semakin bertambah.

Namun, disebabkan Bitcoin telah digembar-gemburkan sebagai mata wang masa hadapan, maka ia bertukar menjadi aset yang bernilai tinggi.

Semakin ramai yakin pelaburan dalam Bitcoin menguntungkan. Namun pakar memberi peringatkan tentang apa yand dipanggil fenomena buih-buihan (bubles). Nilai Bitcoin mencanak naik hanya berasaskan sentimen pelabur semata-mata.

Kenaikan mendadak ini mungkin bersifat sementara sahaja. Selain itu, pelabur juga perlu berwaspada dengan skim ponzi yang sering mengambil kesempatan ke atas keghairahan kita terhadap keuntungan singkat.

Bank Negara Malayisa (BNM) tidak melarang penggunaan Bitcoin, tetapi mengingatkan tentang risiko kemungkinan kerugian. BNM tidak terlibat dalam apa-apa urusan berkaitan Bitconin dan tidak mengiktirafnya sebagai mata wang.

Penerima anugerah Nobel di dalam bidang ekonomi Joseph Stiglitz menegaskan bahawa ‘Bitcoin sepatutnya tidak diiktiraf dari segi undang-undang kerana ia tidak memberi kebaikan kepada masyarakat’.

Penguna dan pelabur diharuskan melakukan transaksi Bitcoin, namun perlu sedar risiko yang mereka bakal hadapi. Negara-negara seperti China, India, Sweden, Russia, Peranchis, Thailand dan Vietnam telah menghalang urusniaga Bitcoin.

Monday 25 December 2017

TARIK MINAT PENGUNDI MUDA

Kedudukan UMNO dan BN dilihat semakin lemah. Rakyat membuat kesimpulan bahawa hayat UMNO semakin di penghujung. Mudah kata, UMNO kini ditolak oleh rakyat. 

Antara punca kejayaan parti pembangkang ialah pendekatan baru yang digunakan. Pembangkang kini telah banyak berubah. Mereka mempunyai pendekatan khusus menarik perhatian pengundi, terutama golongan muda.

Kuasa pengundi muda tidak boleh dipandang mudah.  Kira-kira 40 peratus pengundi adalah terdiri pengundi muda. Sikap golongan muda agrasif terhadap sesuatu isu.

Golongan muda tidak mahu menoleh apa sumbangan UMNO dan BN pada masa lain. Itu sudah jadi sejarah. Apa yang mereka mahu adalah masa depan untuk mereka.

Golongan muda juga mudah mendapat maklumat semasa, terutama kesilapan dilakukan kerajaan. Isu rasuah dan sikap buruk lebih mendapat perhatian.

Biarpun banyak mana kebaikan dan kejayaan dicapai kerajaan pimpinan BN, yang akan dinilai ialah 'keburukan' untuk menentukan parti mana akan dipilih dari PRU akan datang.

Panas setahun tidak dinilai, tetapi hujan sehari itu yang jadi perhatian. BN perlu menampilkan pengundi muda yang belum tercalar maruahnya. Calon muda akan menarik minat pengundi muda. 

Satu lagi perlu diberi berhatian ialah pejawat awam.  Jangan pandang mudah pengaruh pejawat awam dalam menentukan iklim politik. 

Biarpun mereka hanya berjawatan rendah, tetapi mereka sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar kerana mempunyai hubungan langsung dengan rakyat. 

Sebab itu, UMNO perlu menjalin hubungan lebih erat dengan pejawat awam. Mereka ini adalah aset terpenting yang boleh dijadikan barisan hadapan untuk mempertahankan kerajaan.

Satu lagi perkara ingin perlu ditekankan ialah menyuburkan semangat sukarela dalam parti.  Kekuatan parti bergantung kepada semangat sukarelawan. 

Parti bukan syarikat atau organisasi bermotifkan keuntungan. Tidak ada ahli parti yang dibayar gaji atau upah.  Semua ahli parti adalah sukarelawan parti. 

Dukacita apabila ramai ahli parti mengutamakan keuntungan kewangan dalam kerja-kerja parti.  Terdapat ahli yang hanya melakukan tugas jika ada upah atau ganjaran berbentuk kebendaan.  Jika keadaan ini berterusan, parti akan lemah dan seterusnya hancur.

Sunday 24 December 2017

CARA PERMAINAN TARIK UPIH PINANG

Peralatan permainan kanak-kanak dahulu tidak perlu beli. Kanak-kanak dahulu kreatif menggunakan apa sahaja yang ada di sekitar mereka untuk dijadikan permainan.  
 
Antara permainan terkenal ialah tarik upih pinang. Tidak diketahui sejarah permainan tarik upih pinang. Yang pasti permainan tarik upih pinang terdapat di Nusantara seperti di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.
 
Upih pinang adalah pelepah daun pokok pinang. Pelepah tua yang gugur, di bahagian hujung berbentuk seperti 'perahu'.
 
Di bahagian itu boleh dijadikan tempat duduk untuk hingga tiga atau empat orang kanak-kanak jika duduk rapat-rapat.
 
Bahagian ada daun yang berbentuk 'batang' pula sebagai tempat untuk menarik.
 
Permainan tarik upih menarik apabila ada pertandingan. Ada yang jadi penarik dan yang lain pula jadi penumpang duduk di atas upih.
 
Bilangan setiap kumpulan tidak tetap. Ada penarik dua atau tiga orang. Begitu juga penumpang juga mungkin dua tiga orang juga.
 
Kalau hendak 'laju' kenalah penariknya lebih dua orang dan penumpangnya seorang.
 
Jika pertandingan 'rasmi' ada peraturannya. Antaranya, pasukan akan terbatal jika penumpang jatuh atau terlepas dari atas upih. Mereka perlu kembali ke garisan permulaan atau terus terkeluar dari pertandingan.
 
Jika pertandingan secara 'terbuka', ikutlah apa sahaja. Yang penting mereka dapat bergembira.
 
Permainan ini agak lasak sedikit. Kena guna tenaga. Yang jadi penumpang pula mungkin terlepas dari tempat duduk.
 
Kenangan bermain upih pinang, atau boleh digantikan dengan pelepah kelapa (kurang sesuai, tetapi digunakan jika tiada upih pinang) amat menyeronokkan. 

Friday 22 December 2017

JANGAN MUDAH MENGALAH, USAHA SEHINGGA BERJAYA


Jangan mudah mengalah. Sesuatu yang hebat tentunya mengambil masa dan memerlukan pengorbanan. Setiap kesusahan itu ada jalan penyelesaiannya. 

Jangan mudah mengangkat bendera putih. Itu tanda sudah tidak ada usaha lagi. Menyerah kepada pihak lain menentukan nasib kita.

Ingat, tiada titik nokhtah dalam usaha, melainkan telah tercatat peta perjalanan untuk maksud yang berkaitan.

Contohnya, dalam usaha mencari rezeki. Kalau sudah disyaratkan untuk sesuatu kerja itu memerlukan syarat yang tidak mungkin kita capai kerana faktor tertentu, maka itu telah dicatatkan kita tidak mungkin mencapinya.

Teruskan usaha kerana Allah memberi pahala bukan berdasarkan kepada apa yang mampu kita capai. Allah tetap membalas pahala kebaikan kepada setiap usaha ke arah kebaikan yang dilakukan.

Dalam berusaha tentu kita ada mencapai keadaan di mana semangat berkobar-kobar. Teruskan semangat itu biarpun dalam keadaan turun naik. Itu lebih baik dari turun tidak naik-naik.

Kekadang kita suka untuk melepaskan peluang yang sememangnya khas untuk kita. Mengapa terjadi demikian?

Jangan sekali-kali terlalu mudah untuk menyerah bila kita sudah di landasan kemenangan. Jangan biarkan kemenangan itu diragut dengan mudah kerana kita berhak untuk mendapatkannya.

Kita perlu berfikir dan merancang percaturan untuk hidup kita sendiri. Itu bukan pentingkan diri. Setiap apa yang kita capai tentu sekali turut memberi kebaikan kepada orang lain di sekeliling.

Atur strategi dan laksanakan. Hidup ini ibarat permainan catur dan peperangan. Siapa yang fikir ke depan dengan strategi yang kemas dialah pemenangnya.

Tuesday 19 December 2017

RISIKO TINGGI PELABURAN MATA WANG KRIPTO



Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan memahami risiko tinggi yang dihadapi jika mereka memilih untuk melabur dalam mata wang kripto

Ramai orang mungkin tertarik untuk melabur dalam mata wang kripto seperti Bitcoin, disebabkan kenaikan mendadak dalam harga mereka baru-baru ini.


Mata wang kripto tidak sah diperlakukan. Mereka tidak dikeluarkan oleh mana-mana kerajaan dan tidak disokong oleh mana-mana aset atau pengeluar.

Sebarang lonjakan dalam harga mata wang kripto didorong oleh spekulasi. Maka, risiko kejatuhan mendadak harga adalah tinggi.

Pelabur dalam mata wang kripto harus sedar bahawa mereka menghadapi risiko kehilangan semua modal mereka.

Tiada perlindungan kawal selia untuk pelaburan dalam mata wang kripto dilakukan oleh pihak kerajaan atau pihak berkuasa kewangan di mana-mana negara di seluruh dunia. 



Tidak ada bank di mana-mana negara mengawal selia mata wang kripto. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat. Justeru, tiada peraturan keselamatan ditetapkan, melainkan satu urusniaga pelaburan biasa.

Disebabkan kebanyakan pengendali platform di mana mata wang kripto didagangkan tidak berada di Malaysia, sukar untuk mengesah kesahihan atau kredibiliti mereka.



Mata wang kripto adalah satu bentuk token digital yang dijamin oleh kriptografi dan biasanya digunakan sebagai medium pertukaran, unit akaun atau penyimpan nilai. Contoh mata wang kripto ialah Bitcoin, Ether dan Litecoin.

Saturday 16 December 2017

PCB TEMPAT ISTIRAHAT TENTERA JEPUN

Nama Pantai Cahaya Bulan terkenal di Kelantan. Pantai Cahaya Bulan adalah antara pusat peranginan terawal di Kelantan yang telah mula dikenali pada awal tahun 1900 dan pernah dijadikan pusat istirahat pegawai dan tentera Jepun ketika Jepun menjajah negara kita. 

Pada awalnya Pantai Cahaya Bulan dikenali Pantai Semut Api sempena nama kampung di mana pantai itu terletak. Bagaimanapun kemudiannya dikenali Pantai Cinta Berahi yang mana ringkasnya PCB. 

Namun bagi kebanyakan rakyat Kelantan, ringkasan PCB telah dianggap nama khas dan sebab itu apabila merujuk PCB, dipanggil Pantai PCB, walaupun perkataan pantai telah diwakili huruf ‘P’. 

Pada tahun 1990, Pantai Cinta Berahi telah ditukar nama Pantai Cahaya Bulan. Namun, pertukaran nama itu masih mengekalkan nama Pantai PCB.  

Pantai PCB disenaraikan antara pantai peranginan tercantik di negara kita. Hembusan bayu Laut China Selatan dan keadaan pantai yang bersih menjadikan tumpuan ramai setiap hari dan menjadi sesak dengan pengunjung pada hari cuti.

Kedudukan Pantai PCB yang hanya kira-kira 9 kilometer dari Kota Bharu menjadi faktor mudah dikunjungi. Penduduk Kota Bharu menjadikan Pantai PCB tempat ambil angin pada sebelah petang bersama keluarga maupun kawan-kawan.

Selain itu, sepanjang Jalan PCB merupakan tempat menjadi kunjungan pelancong seperti kedai songket di Penambang, kedai pertukangan tembaga di Badang dan kedai membuat wau hiasan di Kedai Buluh. Malah, beberapa ratus meter dari tepi pantai terdapat berpuluh buah kedai batik yang menjadi tumpuan pelancong. 

Jadi, selepas berkunjung ke tempat-tempat tersebut, langsung pelancong terus ke Pantai PCB. Pengunjung yang datang ke Kelantan tidak sah jika tidak menjenguk biarpun sekejap di Pantai PCB. Nama Pantai PCB memang sinonim dengan Kelantan. 

Namun sejak tahun 80-an, nasib Pantai PCB semakin malang akibat proses hakisan pantai yang teruk, terutama pada musim tengkujuh Monsun Timur Laut. Ketika itu ombak besar memukul pantai. 

Setiap kali musim tengkujuh, kawasan pantai terhakis sedikit demi sedikit. Hakisan itu menyebabkan kemusnahan bangunan, gerai dan pokok yang berada di tepi pantai. Kira-kira 100 meter kawasan pantai telah dihakis dan menjadi sebahagian daripada laut.   

Sebuah montel terkenal di Pantai PCB yang banyak menyimpan sejarah kini terpaksa menutup operasinya dan bangunannya telah dirobohkan. Kawasan menempatkan berpuluh-puluh gerai makan yang menjual pelbagai jenis colek makanan laut kini telah tiada. Semuanya telah ditelan ombak. 

Bermula penghujung tahun 2004, Jabatan Pegairan dan Saliran (JPS) telah membina sistem lapis lindung menggunakan batu besar di Pantai PCB yang mampu mengatasi masalah hakisan. 

Namun, pembinaan itu secara langsung mengubah sepenuhnya wajah Pantai PCB. Pantai yang satu ketika dahulu terkenal dengan pantai yang landai, serta hamparan pasir yang putih, kini bertukar menjadi pantai batu. 

Biarpun Pantai PCB telah bertukar wajar, kehadiran pelancong masih ramai biarpun tidak sehebat dahulu. Peluang untuk Pantai PCB kembali gah di persada lokasi pelancongan utama negara masih ada.  

Kepada pengunjung, jangan ragu-ragu untuk kembali melawat Pantai PCB. Pantai PCB masih ada berahinya dan bulannya masih terang.

KECUNDANG JIKA TIDAK UBAH STRATEGI DEKATI PENGUNDI

Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang paling lama dapat memerintah sesebuah negara. Rekod ini mengatasi parti lain di seluruh dunia. Namun, rekod itu lebur pada PRU 14 lalu. Nasib itu seperti parti pemerintah lain di luar negara yang satu persatu gagal mempertahankan kedudukan.

UMNO sebagai parti keramat Melayu mesti berusaha mendapat kembali sokongan rakyat. Perjuangan bangsa yang dimulakan oleh pemimpin dahulu mesti dipertahankan sampai bila-bila. 

Seluruh ahli UMNO perlu bekerja lebih kuat ke arah itu. Usaha dan tindakan yang lebih berkesan untuk mendapat sokongan perlu dilipat gandakan. Penambahan gerak kerja bukan saja dari segi kuantiti, tetapi juga kualiti.   

Perjuangan parti satu perkara yang penting. Kekuatan agama, bangsa dan negara bergantung kepada pengorbanan ahli parti. Kesatuan fikiran yang utuh berpaksikan kepada fakta yang benar. Ia tidak boleh dilakukan secara main-main atau ambil mudah. 

Dalam merangka sesuatu program perlu ada matlamat, fokus, boleh ubah dan mempunyai kaitan dengan apa yang ingin dicapai.  

Penekanan kepada matlamat amat penting. Jika melakukan sesuatu tanpa menetapkan matlamat, sudah pasti tidak akan berjaya mencapai apa yang diinginkan. Ahli akan menjadi keliru dan tidak ada hala tuju.       

Matlamat ialah untuk mendapat kembali sokongan rakyat. Perkara ini perlu dijadikan keutamaan atau paling penting bagi setiap program yang dirancang.

Perkara ini tidak sukar untuk dicapai jika kita memberi fokus terhadapnya. Beri perhatian yang khusus terhadap apa yang dilakukan. 

Usaha ini bukan boleh dibuat main-main. Fikiran dan tindakan kita mesti jelas. Apa yang diusahakan hendaklah dilakukan dengan penuh yakin. Jika hilang fokus, apa yang dilakukan tidak menjadi. 

Tidak dinafikan memang terdapat banyak halangan yang tidak dijangka akan berlaku. Justeru, perancangan yang dibuat itu mesti boleh diubah mengikut keadaan semasa. Namun begitu, perubahan itu nanti tidak mengubah matlamat asal dan tidak hilang fokus.

Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi ialah kekal sesuai dan diterima umum. Masyarakat hari ini sentiasa berubah mengikut arus perubahan zaman. Kita diperkenalkan dengan istilah globalisasi, libralisasi, dunia tanpa sempadan dan pelbagai perkataan baru. 

Keadaan ini menuntut ahli berubah dan bersedia menerima perubahan. Sebab itu, rancangan yang dirangka perlulah bersesuaian dengan tuntutan semasa. BN tidak boleh lagi bernostalgia atau menggunakan kaedah lama dalam usaha menarik sokongan rakyat. 

MEMBACA BAHAN BERSIFAT GOSIP


Pelajar dinasihatkan agar mengelak daripada membaca buku bersifat gosip dan seks kerana ia terkeluar dari matlamat asal membaca yang bertujuan untuk mencari ilmu dan memperkasakan minda.

Membaca adalah jambatan ilmu yang mana individu yang gemar atau menjadikan membaca sebagai amalan harian akan mendapat ilmu tanpa batasan mengikut bahan bacaan yang dibaca. 

Amalan membaca diumpamakan seperti kita memasuki sebuah universiti yang mana segala macam bentuk ilmu dan kemahiran dapat dipelajari melaluinya, mengikut apa yang kita baca itu. .

Sebab itu amat penting kita memilih bacaan yang memberi faedah untuk menambah ilmu dan kemahiran. Tetapi, jika bahan bacaan itu bersifat gosip dan seks, ia bukan menambah ilmu, sebaliknya menyebabkan pembacanya mengalami kekeliruan dan terpengaruh dengan unsur negatif yang dibaca dan dilihat itu.

Masyarakat yang mementingkan budaya membaca dapat mencapai satu tahap tamadun yang boleh dibanggai. 

Rakyat di negara maju seperti Jepun amat mementingkan amalan membaca. Rakyatnya lebih bersikap terbuka dapat menerima perubahan dan menjauhkan diri daripada amalan yang tidak baik seperti rasuah, menipu, malas dan hilang jati diri.

Orang yang banyak membaca akan lebih mementingkan hidup yang berkualiti dan membawa kebaikan kepada diri sendiri, keluarga, agama dan negara.

Budaya membaca perlu disemai sejak kanak-kanak lagi agar ia mudah meresap dan dijadikan amalan harian sehingga meningkat dewasa atau sepanjang hayat sesuai dengan tuntutan agama di mana menuntut ilmu itu bermula dari buaian hingga ke liang lahad.

Diperhatikan sekarang ini golongan yang minat membaca hanya di kalangan pelajar dan mahasiswa yang membaca atau mengulangkaji untuk tujuan peperiksaan, tetapi amalan membaca itu terhenti apabila sudah tamat persekolahan atau memasuki alam pekerjaan.  

Friday 8 December 2017

Buah tampoi diminati orang dahulu

Buah tampoi kini dikategorikan buah nadir. Pokok ini berbuah di batang dan dahan seperti rambai. Kulitnya tebal dan isinya macam buah rambai tetapi agak keras sedikit.

Buahnya sebesar bola tenis dengan isi berwarna putih. Rasanya masam manis dan ada jenis yang masam. Kulit buah ini akan terpecah kepada tiga bahagian apabila ditekan.

Nama botaninya Baccaurea macrocarpa dari keluarga Phyllanthaceae. Buah tampoi pasti terkenal pada masa dulu. Sebab itu nama buah nadir ini dipilih sebagai nama tempat. 

Di Johor terkenal dengan nama tempat Tampoi yang sinonim dengan Hospital Permai. Selain itu di negeri-negeri lain juga terdapat nama tampoi yang diabadikan kepada nama tempat. 

Di Negeri Sembilan ada tempat dinamakan Sungai Tampoi. Di Dengkil, Selangor pula ada tempat dinamakan Bukit Tampoi. 

Manakala di Melaka ada Jalan Tampoi dan Kampung Tampoi. Sungai Tampoi ada juga di Perak dan Sarawak, Bukit Tampoi ada juga di Kedah dan Perlis. 

Di Sabah buah tampoi juga dipanggil tampui. Di Kelantan pula buah tampoi dipanggil buah merkang, ngeke dan moke.