Sunday 26 November 2017

Piagam Madinah konsep negara Islam

Hakikat bahawa Malaysia sebagai negara Islam adalah jelas mengikut perlembagaan dan perisytiharan yang dibuat oleh kerajaan.  Namun diakui, penentuan sama ada Malaysia negara Islam dari sudut ‘fizikal’ memang sukar ditentukan. 

Sebenarnya tidak ada satu sukatan, ukuran atau takar yang digunakan untuk menentukan kesahihan taraf sama ada sesebuah negara itu negara Islam atau tidak.

Dalam Islam sendiri tidak menyebut secara jelas mengenai syarat-syarat negara Islam.     Dakwaan bahawa Madinah yang menjadi pusat pemerintahan dan perkembangan Islam sebagai negara Islam tidak pernah diisytiharkan pada zaman Rasulullah.  Malah, pada zaman pemerintahan empat orang khalifah juga tidak berlaku pengisytiharan itu. 

Perjanjian Madinah tidak boleh dianggap satu perlembagaan untuk tertubuhnya sebuah negara dalam ertikata negara berdaulat seperti konsep negara moden sekarang. 

Perjanjian Madinah lebih menekankan kepada persetujuan dan persefahaman antara orang Islam dengan orang bukan Islam hidup di satu lingkungan tempat yang sama dalam keadaan aman, bebas dan mempunyai hak yang sama. 

Sebenarnya, penduduk bukan Islam Madinah tidak menganggap Nabi Muhammad sebagai pemimpin mereka.  Mereka hanya bersetuju dalam perkara berkaitan kepentingan bersama seperti menjaga keselamatan jika diserang musuh dari luar. 

Madinah juga tidak terdapat sempadan negara yang layak dipanggil negara seperti hari ini.  Justeru, tidak tepat jika dikatakan Nabi Muhammad pemimpin pertama negara Islam Madinah. 

Masyarakat Madinah tidak berkerajaan seperti konsep negara sekarang.  Mereka hidup berkabilah yang masing-masing mempunyai ketua. 

Perjanjian atau Piagam Madinah tidak menyebut atau melantik Nabi Muhammad sebagai ketua kerajaan.  Orang Islam menghormati Rasulullah bukan atas status pemimpin negara, tetapi sebagai pesuruh Allah. 

Rasulullah diutuskan untuk tugas memimpin manusia di seluruh dunia dan sepanjang masa.  Rasulullah bukan sekadar pemimpin negara seperti didakwa oleh mereka yang melihat Madinah sebagai negara Islam. 

Seluruh umat Islam adalah ‘rakyat’ kepada Nabi Muhammad, di dunia dan akhirat.  Rasulullah pemimpin agung untuk seluruh umat Islam tanpa sempadan negara, bangsa, budaya dan masa, serta dalam semua aspek berkaitan. 

Jika, Nabi Muhammad dianggap ketua negara Madinah, bagaimana pula kedudukan umat Islam yang berada di luar Madinah.  Adakah mereka tidak menjadi rakyat atau umat Nabi Muhammad?     

Jadi, tidak tepat jika dikatakan Nabi Muhammad sebagai ketua negara yang meletakkan sama taraf dengan pemimpin negara seperti yang ada kini. 

Patriotisme cinta negara

Patriotisme adalah satu sentimen nasional yang menekankan kepada aspek kesetiaan dan kecintaan yang mendalam kepada negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan kesanggupan untuk berjuang menggadai nyawa demi negara memperlihatkan tahap patriotisme tertinggi yang wujud dalam diri seorang warga negara.  

Patriotisme yang tinggi sangat penting bagi setiap rakyat dalam sebuah negara yang merdeka. Kemerdekaan yang dicapai sesebuah negara adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Justeru, kecintaan yang mendalam kepada negara adalah asas utama untuk memastikan negara terus bebas dan merdeka daripada sebarang bentuk penjajahan.  

Era awal selepas kemerdekaan mempamerkan semangat sayangkan negara yang tinggi di kalangan masyarakat Malaysia. Melalui pendidikan, rakyat berbilang kaum mempelajari mata pelajaran sejarah dan sivik bagi memupuk dan menyuburkan semangat cintakan tanah air.

Kebelakangan ini sejarah negara yang menjadi asas kepada pembentukan peradaban bangsa semakin dilupakan. Pengetahuan dan literasi sejarah umumnya dianggap satu aset intelektual yang tidak mendatangkan keuntungan atau bernilai perdagangan. Oleh itu, ia tidak dipentingkan dan dianggap sekadar satu pengetahuan am.

Namun, sedar atau tidak, pendidikan sejarah adalah aset amat penting dalam pembentukan keperibadian bangsa dan negara yang lebih kukuh, tersusun dan terarah. Ia juga amat penting untuk membina semangat patriotik yang semakin tandus di kalangan generasi muda kini. Justeru, kebanyakan kita lupa bahawa negara kita pernah dijajah selama 446 tahun (1511-1957), satu jangka masa yang amat panjang.

Jika rakyat Malaysia mempunyai semangat patriotik dan ketahanan diri yang tinggi seperti dimiliki Mat Kilau, kita tidak perlu untuk mengadakan institusi bagi menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara seperti Biro Tata Negara (BTN), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan sebagainya.

Namun, kerana ramai di antara kita yang lupa sejarah perjuangan bangsa serta lemah jati diri, kerajaan menubuhkan BTN pada 1974, yang dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan pendidikan kenegaraan bagi memupuk semangat patriotisme rakyat Malaysia.

Pendidikan kenegaraan ini amat penting untuk diterapkan kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan serta pemimpin dan pemaju masyarakat.

Pendidikan ini juga untuk mempertingkatkan kesedaran, penghayatan serta komitmen rakyat secara berterusan kepada wawasan negara dan usaha ke arah kecemerlangan, mempersiapkan rakyat supaya menunjangi dasar negara ke arah pembangunan demi kesejahteraan bangsa.

Semangat patriotisme dan kecintaan yang tinggi kepada negara adalah benteng bagi mempertahankan kemerdekaan dan menjamin keharmonian yang dinikmati kini dapat terus dikekalkan. Sebagai rakyat dan juga pemimpin, pastinya tidak mahu peristiwa hitam 13 Mei 1969 serta penjajahan kuasa asing berulang dan bertapak lagi di bumi Malaysia tercinta.

Sunday 19 November 2017

Hubungan jin dan manusia

Hubungan manusia dan jin. Al-Quran menjelaskan mengenai Nabi Sulaiman yang memerintah manusia dan jin. Pada masa itu, sebahagian jin dengan izin Allah diperintahkan bekerja untuk Nabi Sulaiman. 

Mereka membuat apa saja dikehendaki Nabi Sulaiman, seperti membuat gedung yang tinggi, patung, piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku (rujuk surah Saba', ayat 12-13). 

Peristiwa Nabi Sulaiman memberikan tugas kepada kaum jin menunjukkan jin mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan. 

Ibnu Taimiyyah membahagi manusia yang mampu memerintah jin kepada tiga peringkat. Pertama, memerintah jin sesuai dengan yang diperintahkan Allah, yakni beribadah hanya kepada-Nya. Siapa yang melakukan ini, ia termasuk wali Allah yang paling utama. 

Kedua, memanfaatkan jin untuk tujuan mubah (bukan yang dilarang bukan pula yang dianjurkan agama) sambil memerintah melaksanakan kewajipan dan menghindari larangan Allah. Orang seperti ini bagaikan raja. Kalaupun ia termasuk wali Allah, peringkatnya di bawah peringkat pertama. 

Ketiga, menggunakan jin untuk hal dilarang Allah dan Rasul, seperti syirik serta membunuh. Manusia yang termasuk kategori ini menurut Ibnu Taimiyyah sebenarnya tertipu oleh tipu daya syaitan. 

Syeikh Muhammad Mutawalli asy-Syarawi, ulama al-Azhar kontemporari, berpendapat Allah SWT dengan kudrat-Nya mampu menjadikan jenis makhluk yang rendah memperalat dan mengatasi makhluk yang berkedudukan tinggi. 

Jin yang baik, mungkin bersikap baik seperti manusia. Namun ada hadis membandingkan sifat baik jin itu menyamai sikap manusia paling jahat. 

Menurut asy-Syarawi, jin tidak mungkin rela diperalat oleh sesiapapun. Dengan demikian, boleh dikatakan bahawa tidak ada jin yang ditundukkan atau diperalat manusia, kecuali yang jahat. Ini bermakna, mereka yang berdamping dengan jin hanya menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Lama kelamaan, manusia yang berdamping dengan jin itu akan berada di bawah pengaruh jin.