Saturday 9 September 2017

Dakwah atasi masalah remaja


Masalah sosial remaja semakin kritikal.  Ia melibatkan amalan yang jauh menyimpang dari norma kehidupan seorang Islam.  Fenomena ini jika tidak diatasi segera akan merosakkan seluruh komiti masyarakat dan mencemarkan nama baik Islam sebagai agama mementingkan pembinaan akhlak dan kehidupan sejahtera.

Banyak pihak sekadar membincangkan permasalahn sosial dihadapi remaja.  Malangnya tidak banyak pihak cuba mendekati remaja untuk membawa mereka ke landasan kehidupan yang diredai Allah.

Sekarang ini ramai remaja Islam semakin jauh daripada amalan agama.  Kehidupan mereka hanyut dalam dunia melekakan, kebebasan, hiburan dan maksiat.  Justeru, mereka mula didedakati oleh pihak ingin menggunakan tenaga remaja untuk merosakkan dan menghancurkan Islam dan negara.

Persoalannya, di manakah mereka yang dipanggil pendakwah.  Apakah pendakwah hanya berkhutbah atau berceramah di masjid dan di surau, menyeru agar manusia tekun melaksanakan ibadat dan suruhan Allah.

Pengertian dakwah ialah mengajak, menyeru, memimpin dan membantu diri sendiri dan orang lain agar bersama-sama menghayati ajaran Islam dengan melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Konsep dakwah sebenrnya amat luas, mencangkupi segenap aspek kehidupan.  Sebab itu pendakwah bukan saja di kalangan iman, ustaz dan guru agama semata-mata.  Sesiapa saja yang berkemampuan melaksanakan amalan mengajak, menyeru dan membantu merupakan pendakwah.

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam menjelaskan kekeliruan itu mengatakan, ramai melihat tugas dakwah dalam skop lebih sempit.  Sedangkan sebenarnya kandungan dakwah meliputi semua kandungan risalah Islamiah yang luas.

Pada hakikatnya dakwah Islamiah bermula dari akidah, ibadat, hinggalah kepada pemerintahan, perundangan, pendidikan, pertahanan, kebudayaan, kesenian, kewangan, komunikasi dan kemasyarakatan.

Dengan kata lain, semua pihak dalam bidang pekerjaan dan aktiviti terlibat secara langsung dalam tugas dakwah, menyeru melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Memahami konsep dakwah sebenarnya, jelas semua individu berperanan menjadi pendakwah.  Sehubungan itu, berusahalah memahami dan menyiapkan diri untuk melaksanakan tugas penting ini.

Firman Allah dalam surah Fushshilat ayat 33 menjelaskan keutamaan melaksanakan tugas dakwah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku aku seorang Muslim.”