Thursday 7 April 2016

Syukur dan hargai peluang

Syukur dapat hidup dan menjadi warganegara Malaysia yang aman dan makmur. Banyak negara lain berada dalam keadaan tidak aman dan suasana hidup penuh mencabar dalam kaeadan ekonomi tidak stabil dan mundur. Tidak dinafikan, susasana di negara kita bukan yang terbaik, tetapi ia lebih baik berbanding negara lain.

Dalam menghadapi masalah ekonomi dan usaha memperoleh sumber pendapatan bagi kelangsungan hidup masing-masing, rakyat perlu lebih bersikap terbuka dan menerimanya sebagai satu cabaran hidup secara positif.

Jangan sekali-kali menyalahkan pihak lain dalam soal ini. Jauhi perasaan marah dan dendam sehingga tanpa menyedari menyalahkan pemberi rezeki hakiki iaitu Allah SWT.

Sebalinya rakyat perlu berusaha gigih untuk membangunkan potensi ekonomi bukan hanya bergantung kepada sesuatu pihak. Bagi pihak kerajaan, mereka bertanggungjawab memanfaatkan segala potensi dan hasil pendapatan negara untuk faedah rakyat secara umum.

Manakala sebagai masyarakat pula, kita dituntut agar berbelanja secara berhemah. Usahlah sesekali terpesong akidah dengan mempertikai atau mengatakan tidak memperoleh rezeki sedangkan menerimanya dalam bentuk lain.

Firman Allah: “Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu; adakah pencipta selain Allah yang dapat memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan?,” (al-Fatir: 3)

Sebagai umat Islam, dituntut mengingati segala nikmat pemberian Allah. Nikmat ini cukup jelas dan terang tetapi realitinya masih ramai masyarakat yang kurang bersyukur.

Sedangkan Allah mengurniakan rezeki yang mencurah-curah kepada kita sama ada dalam bentuk kesihatan, kebahagiaan, ketenangan dan keselamatan daripada sebarang malapetaka. Sedarilah bahawa golongan bersyukur akan melahirkan sebuah tamadun bangsa yang hebat dan sukar ditandingi bangsa lain.

Ia sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan..” (al-Qasas-77)

Imam al-Ghazali menyatakan bahawa terdapat tiga darjat syukur iaitu:
- Syukur dengan hati. Meyakini bahawa tiada memberi nikmat atau rezeki melainkan Allah
- Syukur dengan lidah. Memperbanyak lafaz pujian kepada Allah pemberi nikmat
- Syukur dengan amal.  Syukur yang disertai dengan amal.

Allah SWT memberikan pelbagai nikmat kepada manusia yang sangat berharga dan bernilai. Sebagai hamba-Nya, wajib beriman atas kurniaan nikmat tersebut kerana Allah tidak pernah lupa kepada setiap hamba-Nya walaupun sesaat.

Sifat syukur melahirkan umat Islam yang benar-benar berkualiti, menghayati nilai-nilai Islam dengan ikatan akidah yang kukuh. Kemuncaknya, akan muncul kelompok manusia elit yang berakhlak, berintegriti, berketerampilan dan sedia berkorban demi agama, bangsa serta negara.

Malah mereka terus menerus berusaha dengan bekerja bersungguh-sungguh agar pekerjaan yang dilakukannya mendatangkan keberkatan di sisi Allah.

Firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 105 maksudnya: “Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib dan nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Nikmat atau rezeki yang diterima adalah berkat daripada Allah, meskipun hanya kecil dan sedikit tetapi cukup serta menenteramkan hati. Kerana orang yang selalu bersyukur akan memperoleh kehidupan yang tenang, dan bahagia serta terhindar daripada fitnah dunia serta akhirat.

No comments:

Post a Comment